Jumat, 22 Januari 2010

HUBUNGAN KITA DENGAN ISLAM



Kami Memilih Islam sebagai cara hidup

Apabila seseorang menanyakan dirinya tentang pengertian hidup ia sedang memikirkan satu persoalan yang terbesar kerana persoalan itu hanya difikirkan oleh orang-orang yang mendapat hidayah dan orang yang tajam fikirannya. Sebaliknya para anbiya’ dan solihin yang merupakan orang-orang yang bijak sejak sebelum kenabian mereka lagi atau sejak kecil lagi telah memikirkan tentang perkara-perkara ‘alami(universal). Iaitu persoalan tentang; kenapa aku bertaraf hamba dan kenapa Allah itu bertaraf Khaliq (Pencipta)? Kenapa aku cenderung mengkagumkan sesuatu yang hebat? Kenapa aku menaruh harapan kepada sesuatu tatkala dalam kesempitan atau bahaya? Dan sebagainya.


Persoalan-persoalan di atas menunjukkan bahawa memang suatu kepastian Allah itu Pencipta dan kita ialah kejadian-NYA. Dan kita dalam genggaman-NYA serta tertakluk dengan peraturan-NYA. Jika kita akur dengan kenyataan ini bererti kita memilih suatu pendirian yang fitrah(murni). Inilah titik tolak Islam.

Dengan keadaan demikian kita menjadi orang yang telah Istislam yakni menyerah kepada ketetapan. Pendirian ini menyelesaikan banyak pertanyaan pokok yang lain seperti benarkah Islam ini? Benarkah Muhammad itu dipilih sebagai jurucakap Allah? Benarkah kita akan dibangkitkan setelah hancur luluh? Benarkah hukum Quran ini? Benarkah akhirat itu berkekalan? Benarkah janji Allah akan menolong hamba-NYA?

Benarlah bahawa ungkapan ‘Aku redha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai deen, dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul’ yang mengambarkan tentang keyakinan dan pendirian pengucap yang telah berfikir mendalam tentang fenomena kehidupan serta memerhatikan alam raya (cosmos); bahawa wujud di sana kuasa tunggal manakala kita tertakluk dengan kehendak-NYA; dan kita telah diberi tugas serta tanggungjawab; kita juga telah dinasihati oleh-NYA menerusi manusia pilihan-NYA yang menerima Kalam-NYA (al-Quran) sebagai pedoman.

Kita tidak akan menjadi muslim yang salimah(sejahtera) dan iltizam (komited) jika tanpa melalui proses berfikir dan membuat keputusan ini. Kita mungkin menjadi muslim yang berkebetulan (accidental). Umpama orang yang tersilap membeli tiket bas sudah tentu tidak akan menghayati perjalanan itu walaupun di kiri-kanan penuh dengan pemandangan menarik dan walaupun dalam bas itu ceria dengan kawan yang sehaluan.

Orang yang tidak membuat keputusan tentang persoalan-persoalan utama dalam hidup ini tidak mengenali dan mengiktiraf dirinya sebagai hamba merasa serba salah dengan peraturan Islam. Sedangkan orang beriman merasa sepadan dan selesa dengan hukum Islam. Orang yang beriman dan yang telah membuat keputusan bahawa dirinya tak seumpama dan tak wujud tanpa kehendak Rabbnya, dirinya ialah hamba dan tawanan Allah, manakala Allah ialah Penguasa (Rabb) mutlak, dan bahawa dirinya wajar tunduk menurut kehendak peraturan Rabbnya.


Hubungan yang tepat dengan Allah

Hubungan kita dengan Islam ialah hubungan yang benar dan tepat antara kita dengan Allah. Seandainya sudah diakur hakikat diri ini ialah hamba dalam pengembaraan menuju kehidupan benar dan kekal maka kita sudah Istislam, dan Islamlah cara hidup kita dan pilihan kita.

Hubungan Kesetiaan

Hubungan kita dengan Islam ialah hubungan kesetiaan yakni kita setia dengan peraturan dan hukumnya walaupun berat pada perasaan dan nafsu. Orang beriman tidak berkata bagi setiap pendiriannya, ‘pada pendapat saya …’ tetapi menyatakan ‘pada pendapat Islam …’ atau ‘dari segi syarak…’.

Firman Allah,


“Wahai orang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul, dan bertaqwalah kepada Allah. Sungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui” (Hujurat:1)

Syed Qutb menjelaskan dalam realiti zaman ini dalam bidang apakah lagi manusia tidak mendahului Allah dan Rasul? Tatkala manusia membelakangi Allah dan Rasul mereka tidak sedikitpun merasa cemas tentang kemurkaan Allah.

Maulana Iqbal pernah menukilkan ; ‘Pejuangkan keimanan di tengah-tengah kemerosotan zaman itu memaksa kamu menyalahi iman persingkirkannya (zaman itu)’. Hari ini kita mudah untuk bertolak ansur dengan kehendak Islam demi menurut kehendak zaman. Sepatutnya kita ubahsuaikan kehendak zaman supaya tunduk kepada Islam.

Kita hanya setia kepada sebahagian dari perintah Islam menurut yang kita rasai ringan. Kita melayani Islam bagaikan pakaian, dipakai dan ditanggal sesuka hati. Lebih-lebih pula kita akan rujuk kepada Islam apabila dihimpit masalah. Dalam menyusun kehidupan masyarakat kita mengambil teori manusia tetapi apabila timbul kegawatan kita minta ulama selesaikan. S.Qutb menerangkan, jika ingin menyuruh Islam selesaikan masalah masyarakat hendaklah diserahkan masyarakat itu kepada Islam dari awal lagi yakni dari proses pembentukan masyarakat.



Hubungan yang memuliakan kita


Hubungan kita dengan Islam ialah hubungan kemuliaan, dan kesejahteraan. S. Umar pernah menyebut bahawa ‘Hai sekelian, kamu telah dimuliakan dengan Islam sejurus sahaja kamu meninggalkan Islam kamu akan kembali hina seperti masa jahiliyah’.

Jahiliyah ialah keadaan dan perlakuan yang menurut hawa nafsu. Tiap suatu yang dilarang oleh Allah ialah jahiliyah. Jahiliyah tidak terikat pada sesuatu zaman tetapi berada pada setiap kesempatan apabila sahaja orang mengabaikan petunjuk Islam. Islam dan jahiliyah dua penjuru yang berlawanan. Jahiliyah mengajak supaya ingkar terhadap Allah manakala Islam sentiasa mengekalkan ‘ubudiyah kepada Allah. Islam ialah jalan mudah untuk hidup manakala jahiliyah tiada janji lain melainkan kesengsaraan.

Al-Maududi menyebut; Orang-orang jahiliyah memuliakan harta dan para hartawan’ Betapa ramai manusia menyangka bahawa kemulian dan kesejahteraan ialah menerusi kekayaan dan kebendaan tetapi akhirnya kebendaan menghinanya. Berkata S. Ali; ‘Ilmu akan menjaga kamu tetapi tidak pada harta, kamulah yang kena menjaga harta’.

Islam sahaja yang mengekalkan kita sebagai manusia dengan tabiat insan. Martabat manusia ialah pada hati, tingkah laku dan cara hidupnya bukan pada rupa parasnya.

‘Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa parasmu tetapi Allah memandang kepada hati dan tindakanmu’ (al-hadith)

Menerusi Islam sahaja kita dapat mencari perlindungan samada di atas bumi mahupun dalam perut bumi dan di akhirat. Berkata Syeikh Abdul Qadir Ghilani tentang hadith, “Sesungguhnya dunia diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk akhirat”; dengan katanya: … dunia ini menyangjung mereka yang menanti pada pintu Allah tetapi menghina mereka yang menanti dihadapannya…’

Hubungan Keyakinan

Hubungan kita dengan Islam ialah hubungan keyakinan. Islam yang bersifat rabbaniyy (dari Tuhan) mestilah diyakini. S. Qutb menjelaskan kita hendaklah melalui proses kefahaman, kesedaran dan keyakinan terhadap Islam.

Orang yang tidak faham tentang Islam akan bertindak berlawanan dengan pengakuannya sebagai seorang Islam. Inilah punca ghurbah Islam iaitu ketidakfahaman atau kekeliruan tentang Islam. Betapa ramai muslim yang menyangka bahawa Islam menyekat kebebasannya dan menyekat hajat dan selera dirinya. Alangkah takjubnya jika kita mengetahui bahawa Islamlah yang membebaskan manusia dalam sepanjang sejarah dari belenggu penindasan dan kejahilan. Islamlah yang telah mengiktiraf darjat wanita dan hak mereka, dan Islamlah yang memberi kebebasan bersuara hingga boleh menegur pemimpin yang menyeleweng.
Tidakkah kita ketahui bahawa asal semua hukum dalam Islam ialah mubah yakni diharuskan, kemudian di larang sebahagian kecil untuk mengelak kemudharatan demi kesejahteraan manusia.

Tindakan ramai muslim yang tidak melambangkan Islam telah menyekat orang lain dari menerima Islam.

Begitu juga ramai orang faham tentang Islam sebagai satu cara hidup dan faham hukum hakam tetapi tidak cukup kesedaran hingga matlamat dan jalan hidup tidak menepati matlamat dan jalan hidup Islam. Mereka telah banyak mengelirukan masyarakat dengan gelaran dan kedudukan mereka.

Kesedaran dapat dilihat pada tindakan. Orang yang sedar akan berusaha gigih untuk mengubah hatinya kepada beriman dengan sebenar-benarnya, dan mengubah tindakannya kepada tindakan yang masyru’(menurut syara’) dan meninggalkan tindakan yang mungkar dan sia-sia. Ia sedar ia bertanggungjawab memelihara nama Islam di mana-mana. Ia wajib mempamerkan syakhssiyyah Islamiyyah di hadapan manusia.

Apabila faham tetapi tidak sedar akan menimbulkan malapetaka yang lebih besar. Berkata Ustaz Said Hawa: ‘Kelalaian daei terhadap dirinya sendiri lebih berbahaya dari kelalaiannya terhadap masyarakat.

Jalan mendapat keyakinan

Sedangkan para sahabat Rasulullah telah menawan hati ramai manusia untuk kembali kepada Islam menerusi tindakan mereka yang menepati percakapan dan laungan mereka. Ini ialah kerana para sahabat telah melalui proses kefahaman, kesedaran dan keyakinan. Keyakinan yang mereka capai ialah hasil dari pengorbanan masa, harta, dan diri mereka . Tidak ada jalan keimanan dan keyakinan tanpa pengorbanan. Berkata Imam Syafie: ‘Tidak ada kebaikan yang boleh diharapkan dari orang yang bakhil sepertimana tidak dapat diharapkan setitis airpun dalam api yang merebak’.

Untuk mencapai tahap keyakinan kepada Islam perlu kepada masa dan istiqamah serta berdoa kepada Allah. Hanya mereka yang meyakini Islam mendapat kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat kerana mereka sentiasa bercakap dan menunjukkan Islam kepada manusia menerusi tindakan mereka. ALLAHU AKBAR …….

‘Ya Allah ya Tuhanku,jadikanlah aku orang yang Sabar dan bimbinglah aku dengan hidayah-MU dalam meniti liku-liku hidup yang penuh ranjau dan duri ini..amin’

Tidak ada komentar:

Posting Komentar